...CORPORATE NEWS  

PSCI Dapat Kontrak Bina Tiga Kapal Tangki

PSC Industries Berhad (PSCI), syarikat sekutu Kumpulan Boustead,mendapat kontrak membina tiga kapal tangki kimia dengan kapasiti purata 10,000 dwt bernilai RM146 juta untuk Gagasan Carriers Sdn Bhd.

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikatnya, Penang Shipbuilding & Constructions Sdn Bhd.

Kontrak pembinaan itu dimeterai di Putrajaya pada 21 Februari 2007. Ia disaksikan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

YBhg Laksamana Madya (B) Dato' Seri Ahmad Ramli Hj Mohd Nor, Pengarah Urusan Kumpulan PSCI, menyatakan pembinaan tiga kapal berkenaan akan disiapkan dalam tempoh dua tahun. Penghantaran pertama dijangka dibuat pada Oktober 2008, diikuti penghantaran kedua pada Januari 2009 dan yang terakhir pada Mac 2009.

Perjanjian itu diikuti dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BN Shipyard) dengan Yonca-Onuk Shipyard dari Turki.

Menerusi MoU itu, kedua-dua syarikat bersetuju untuk mengadakan usaha sama dalam bidang teknologi dan kepakaran di samping mengukuhkan logistik pembinaan kapal yang lebih cekap menggunakan bahan tempatan.

Selain usaha sama membina kapal, MoU itu juga bertujuan memasarkan kapal di pasaran serantau.

Sementara itu, Dato' Seri Ahmad Ramli menyifatkan perjanjian membina kapal tangki yang dimeterai itu adalah sebahagian usaha PSCI memulihkan kedudukan operasi dan kedudukan kewangannya yang disasarkan mampu dicapai pada pertengahan tahun ini.

PSCI ketika ini giat menjalani penyusunan semula operasi bagi membolehkan syarikat memberikan tumpuan kepada perniagaan teras yang menguntungkan dan meningkatkan keputusan kewangan syarikat.